Tuesday, 20 March 2012

RELEVANSI TAMADUN CINA DENGAN TAMADUN LAIN

PENGENALAN
Tamadun Cina yang telah lama bertapak mula berinteraksi dengan tamadun luar apabila orang-orang Cina mula berhijrah ke tempat luar. Sistem politik yang berwibawa, kuat dan stabil telah menggalakkan penghijrahan orang Cina ke luar samada untuk melakukan aktiviti ekonomi ataupun mencari penempatan baru. Penggabungan etnik-etnik cina yang kemudiannya dikenali sebagai orang Han atau Cina telah membentuk tamadun yang besar dan berpengaruh. Interaksi tamadun Cina dengan tamadun luar boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu interaksi budaya Cina dengan kawasan bulatan budaya dan juga interaksi budaya Cina dengan kawasan luar lingkaran bulatan budaya.

Interaksi dengan kawasan bulatan budaya – Korea, Jepun dan Vietnam

Pada zaman dinasti Shang (kurun ke-16 hingga ke 11 SM) orang Cina telah mengenali Korea sebagai satu entiti kawasannya tersendiri. Orang-orang Cina telah berhijrah ke Korea untuk mengelakkan peperangan dan seksaan politik. Dipercayai pada kurun ke-2 SM, Wiman, iaitu seorang pelarian Cina telah memerintah sebuah wilayah Korea iaitu Chosan. Pada tahun 108 SM, empayar Han berjaya diperluaskan ke kawasan orang-orang Korea termasuk kawasan yang diperintah oleh Wiman. Semasa pemerintahan Han, orang Korea telah dipaksa supaya mengamalkan kebudayaan Cina. Proses perkembangan kebudayaan Cina mencapai kemuncaknya apabila Korea muncul sebagai sebuah negara berfahaman Konfusianisme semasa pemerintahan dinasti Li (1392 – 1910).
Antara unsur-unsur kebudayaan Cina yang amat berpengaruh di Korea ialah konfisianisme dan Buddhisme. Pengaruh konfusianisme dan buddhisme pada Korea sangan kuat sehingga kerajaan Korea menubuhkan institusi pendidikan untuk mengkaji konfusianisme dan buddhisme disamping menjadikan fahaman ini sebagai bahan pengajaran. Tidak cukup dengan itu, demi mengukuhkan lagi fahaman ini, kerajaan menghantar beratus-ratus pelajar ke China untuk mempelajari konfusianisme dan memahami sistem pentadbiran China. Oleh itu, setiap perkembangan dan konsep konfusianisme telah diamalkan sepenuhnya oleh Korea.
Selain daripada kepercayaan, bahasa dan tulisan Cina juga mempengaruhi Korea. Pada kurun ke-15, pemerintah dinasti Li Korea telah mencipta sistem tulisan Korea berpandukan kepada grafik tulisan Cina. Kebanyakan perbendaharaan kata bahasa Korea berasal dari istilah-istilah tulisan atau bahasa Cina. Pengaruh Cina mula terhakis apabila Jepun menakluki Korea pada tahun 1910.
Hubungan Cina dengan Jepun bermula seawal kurun ke-2 SM iaitu di zaman dinasti Qin (221-206SM). Perpindahan teknologi telah berlaku di mana teknologi pertanian, pemeliharaan ulat sutera dan perbuatan perkakas besi dan gangsa dibawa masuk ke Jepun oleh pedagang Cina. Pengaruh kebudayaan Cina berkembang denga pesatnya pada zaman Nara hingga zaman Kesyogunan Tokugawa (664-1867) di mana bahasa, sejarah, falsafah, agama, kesenian, sistem politik dan sebagainya dipelajari oleh pelajar-pelajar Jepun yang dihantar ke China.
Sistem tulisan Jepun, Kana dicipta berasaskan kepada sistem tulisan Cina iaitu Kanji. Buku sejarah terawal Jepun iaitu Nihongi ditulis menggunakan bahasa Cina. Falsafah konfusianisme Cina yang bersendikan Dao begitu terpengaruh dalam sistem pembelajaran, politik dan tatasusila orang-orang Jepun. Perkembangan falsafah konfusianisme di jepun boleh dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama pada kurun ke-5 hingga kurun ke-12, fasa kedua pada kurun ke-12 hingga kurun ke-17 dan fasa ketiga bermula pada kurun ke-17 iaitu zaman pemerintahan Edo atau Kesyogunan Tokugawa (1603-1867).
Vietnam merupakan negara Asia Tenggara yang paling kuat dipengaruhi oleh kebudayaan Cina. Ini adalah kerana Vietnam merupakan negara yang terdekat dengan China dan pernah menjadi sebahagian daripada empayar China untuk jangka masa yang panjang (111-939). Penaklukan ini meniggalkan kesan yang mendalam kepada pembentukan kebudayaan tempatan. Bahasa, pemikiran, adat resam dan nilai-nilai kehidupan penduduk Vietnam banyak dipengaruhi oleh kebudayaan Cina. Bahasa Cina merupakan bahasa yang digunakan dalam pentadbiran, pendidikan, kesusateraan dan sebagainya sebelum Vietnam ditalukki oleh kuasa Perancis.
Klasik konfusisnisme yang diasaskan oleh ahli falsafah Cina merupakan pegangan dan pedoman hidup masyarakat Vietnam. Ajaran konfusius juga dijadikan panduan dan rujukan bagi golongan pemerintah dalam pengetahuan politik, ekonomi ddan juga perancangan pendidikan. Selain daripada itu, terdapat juga aspek-aspek harian lain seperti pakaian, seni binaan dan juga budaya hidup orang-orang Vietnam seolah-olah mencerminkan kehidupan orang-orang Cina.

Interaksi dengan kawasan luar budaya – Asia Tenggara, India, Dunia Islam dan Barat
 
Hubungan tamadun Cina dengan Asia Barat dan Eropah agak lambat. Ini adalah kerana kedudukan geografi yang agak jauh dan dipisahkan oleh permukaan bumi yang bergunung ganang serta padang gurun. Negara-negara Asia Tenggara, yang kedudukannya agak dekat dapat berinteraksi dengan kebudayaan Cina seawal zaman pemerintahan dinasti Han (206-220TM). Kerajaan Dinasti Han telah menghantar utusan ke Funan (Kampuchea) dan negara-negara Asia Tenggara lain dalam usaha mencari jalan untuk menembusi Tamadun Rom dan Parsi.
Penghijrahan orang Cina ke Negara-negara Asia Tenggara secara tidak langsung juga menyumbang kepada interaksi antara budaya. Dalam kurun ke-19, kemasukkan beramai-ramai orang Cina dan India oleh penjajah Barat dalam usaha mereka untuk memenuhi permintaan tenaga buruh telah mewujudkan satu kolompok masyarakat Cina dan India di Negara-negara Asia Tenggara. Budaya dan pegangan kehidupan pendatang ini telah mempengaruhi kehidupan penduduk tempatan.
Hubungan Malaysia dengan China dipercayai telah bermula sebelum kegemilangan kerajaan Parameswara Melaka, tetapi hubungan ini bertambah baik apabila Laksaman Ho Chi Ming, yang di hantar Maharaja China untuk berdagang dengan kerajaan Melaka diterima baik oleh sultan Melaka. Asalnya hubungan perdagangan ini telah bertukar kepada hubungan perkahwinan apabila Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sulatan Melaka.
Tamadun Cina dan tamadun India dikatakan bertembung di Asia Tenggara. Kedua-dua tamadun ini mempunyai keagungan masing-masing. Interaksi antara dua tamadun ini, telah membuka lembaran baru dalam konsep kepercayaan buddha. Ajaran buddha yang konsepnya hampir menyerupai konsep Daoisme senang diterima masyarakat Cina, sehinggakan dalam tempoh yang singkat, orang-orang Cina telah berjaya menyusun doktrin buddha dalam satu koleksi yang dinamakan Tripikata yang terdiri dari kandungan kitab Mahayana dan Hinayana.
Perpindahan dua hala kebudayaan China dan India ini terus berlaku bukan sahaja dalam kontek pegangan kehidupan tetapi kepada hampir keseluruhan corak kehidupan kedua-dua tamadun ini. Perpindahan teknologi telah berlaku di mana teknologi pembuatan kertas dari China telah dibawa masuk ke India dan teknologi membuat gula dari India telah dibawa masuk ke China.
Walaupun interaksi dengan tamadun Barat agak lewat, pertembungan dua tamadun ini banyak memberi kesan positif kepada kecemerlangan tamadun dunia hari ini. Tamadun Barat yang terkenal dengan kemajuan sains, telah menggunakan kesempatan ini sepenuhnya apabila mengkaji secara lebih mendalam empat penemuan agung tamadun Cina. Tamadun Cina yang mengutamakan etika dalam pengurusan masyarakat dan negara dianggap oleh para intelektual cina sebagai penghalang kepada kemajuan sains dan teknologi. Pertembungan tamadun ini telah menyedarkan para intelektual cina supaya melancarkan satu revolusi yang dikenali sebagai Gerakan Kebudayaan Baru dalam usaha untuk memajukan negara China.


KESIMPULANNYA

Tamadun Cina merupakan satu tamadun yang kuat pengaruhnya. Perkembangan tamadun Cina sehingga ke dunia Barat menunjukkan tamadun cina berupaya bersaing dengan tamadun-tamadun lain. Tamadun Cina telah memberi pandangan baru kepada tamadun lain. Pegangan konfusianisme telah memberi idea kepada sesebuah negara agar beretika dalam penubuhan sesebuah kerajaan. Konsep konfusianisme yang mementingkan humanisme, humanitaarianisme, intelektualisme dan rasionalisme adalah bersesuaian untuk diamalkan dalam kehidupan harian manusia.
Kebolehan tamadun Cina dalam teknologi dengan menyumbangkan empat ciptaan agung kepada dunia menunjukkan tamadun Cina telah awal lebih maju berbanding dengan tamadun lain. Walaupun pada zaman pemerintahan Yong Zheng (1723-1735), dasar isolation telah diperkenalkan, ini tidak memundurkan masyarakat cina. Namun sedikit sebanyak memberi impak kepada kemajuan secara global. Kebangkitan para intelektual Cina setelah China kalah beberapa kali dalam peperangan telah memberi kesan positif kepada pembangunan China.
Revolusi Gerakan Kebudayaan Baru yang dilancarkan oleh para intelektual Cina telah menyedarkan kerajaan China bahawa pembaharuan perlu dilakukan untuk memajukan tamadunnya sendiri. Pegangan kosnfusianisme semakin terhakis apabila ramai rakyat China diberi pendidikan sekularisme Barat.

No comments:

Post a Comment