Monday, 9 April 2012

MANIS YANG MEMBUNUH

Penyakit kencing manis adalah satu keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan kita. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pancreas yang terletak dibawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga.
 
Tanda-Tanda Awal Kencing Manis
1. kerap membuang air kecil
2. berat badan yang menurun
3. sentiasa merasa lapar
4. sentiasa merasa haus dahaga
5. letih yang tidak menentu
6. pandangan semakin menjadi kabur
7. mudah mendapat penyakit kulit
8. merasa gatal-gatal pada kaki dan tangan
9. merasa penat dan sakit kaki
10. gatal-gatal pada perlipatan dan dua celah paha
 
Tanda-tanda yang SERIUS/TERUK bagi KENCING MANIS
1. sentiasa haus
2. hilang selera untuk makan
3. muntah-muntah
4. boleh menjadi pengsan dan tidak sedarkan diri
 
Langkah-langkah perlu DIAMBIL BERAT oleh pesakit-pesakit KENCING MANIS
1. menjaga kebersihan badan dengan sempurna dan teliti
2. sentiasa mengawasi makan dengan teliti, elakkan gula, tidak memakan makanan yang berkanji
3. menghilangkan perasaan bimbang dan risau terhadap penyakit yang dihadapinya
4. sentiasa besenam dan berehat secukupnya
5. jangan terlalu boros menggunakan tenaga
6. bila melakukan kerja-kerja yang berat setelah merasa penat segeralah berhenti janganlah diteruskan lagi
 
Petua mengubati Kencing Manis
# Ambil buah petai belalang yang telah tua dan kering di pokoknya, keluarkan isinya dan goreng tanpa minyak sehingga garing dan tumbukkanlah sehingga hancur, kemudian bubuh ke dalam air panas dan buat minuman seperti minum kopi, atau
# ambil 20 gram pokok kemunting cina bersama akar serta daun dan bunganya. rebus bersama 2 liter air sehingga tinggal anggaran separuh. minumlah 2 kali sehari, lakukan sehingga sembuh, atau
# minumlah air rebusan pokok belimbing tanah/bukit setiap hari, Insya’ Allah dalam masa 2 bulan akan pulih.
# Cabut sebatang bunga matahari. Bersihkan dan potong kira-kira satu inci dari bahagian akarnya. Rebus sehingga airnya tinggal satu gelas sahaja. Tapis dan minum sekali seminggu.
# Kisar beberapa helai daun mengkudu sehingga lumat. Rebus sehingga airnya tinggal kira-kira secawan. Minum tiga hari berturut-turut.
 
MEREDAKAN KENCING MANIS
# ambil kulit pokok petai dan masukkan ke dalam kelongsong ketupat yang kosong dan rebus di atas perapian. minumlah air tersebut 3 kali sehari, atau
# ambil 5 kulit buah jering (tanpa isi) dan goreng tanpa minyak, gorenglah sehingga garing. kemudiannya tumbuk sehingga halus. ambil 1 sudu teh debu kulit jering tersebut dan bancurlah dengan air serbuk kopi yang hendak diminum, minumlah air tersebut 2 kali sehari.

VIRUS MAT REMPIT



APAKAH MAKSUD MAT REMPIT?


- Istilah rempit atau merempit dalam Kamus Dewan bermaksud, 'menyebat' atau 'menyesah' dengan menggunakan rotan dan lain-lain.

- 'Mat Rempit' dalam konteks masyarakat merujuk sekumpulan pelumba haram yang menjadikan jalan raya sebagai gelanggang untuk menunjukkan kehebatan dan kemahiran menunggang motosikal.

- Pihak polis - 'Mat Rempit' ini ialah pelumba haram kerana kegiatan yang dilakukan oleh mereka salah di sisi undang-undang negara dan boleh mendatangkan maut jika tersilap langkah.

Siapakah Mat Rempit?

- Rata-rata mereka yang terlibat dalam gejala ini terdiri daripada golongan remaja yang berumur antara 16 hingga 25 tahun

- Terdapat juga antara mereka yang masih di bawah umur serta tidak memiliki lesen motosikal

- 2006 - pihak berkenaan telah menahan sebanyak 268 orang remaja yang terbabit dalam kegiatan ini - menunjukkan sebanyak 175 orang yang ditahan melepasi usia 18 tahun, manakala 93 orang lagi ialah remaja yang masih di bawah umur

MENGAPAKAH MEREMPIT?

1. ingin memenuhi keperluan naluri individu terbabit yang ketagih kepada desakan adrenalin
- ketagihan ini jauh lebih kompleks daripada ketagihan dadah KERANA individu terbabit akan cenderung untuk melakukan perkara yang lebih berisiko
- Contohnya, mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk menunjukkan aksi-aksi berbahaya seperti mencangkung di atas motosikal dan menunggang motosikal ala ‘superman’
- hanya untuk keseronokan dan menunjukkan kejantanan mereka

2. Kurang mendapat didikan agama dan kasih sayang
- ibu bapa kini asyik membanting tulang empat kerat dalam mencari nafkah hidup atau kemewahan hidup – alpa akan tanggungjawab hakiki mereka
- Pada peringkat umur antara 16 hingga 25 tahun, anak-anak perlu diberi perhatian yang sewajarnya
- Peringkat ini dikatakan peringkat yang kritikal - mereka masih tercari-cari identiti diri yang menyebabkan mereka sering terkeliru dalam menentukan hala tuju hidup yang sebenarnya
- kurang belaian dan kasih sayang - hala tuju hidup mereka akan tersasar kerana mereka tidak beroleh bimbingan daripada keluarga
- Mencari keseronokan bersama dengan kawan-kawan dengan merempit pada waktu malam
anak-anak yang kedangkalan kasih sayang daripada ibu bapa akan mendorong mereka terbabit dalam sebarang gejala negatif termasuklah gejala ‘mat rempit

IMPAK MEREMPIT

MENGUNDANG PADAH KEPADA DIRINYA DAN ORANG LAIN

-termasuklah anggota polis yang bertugas membuat sekatan jalan raya dirempuh sehingga cedera parah
Kata orang tua-tua, malang tidak berbau tetapi sebenarnya pelumba-pelumba haram ini sengaja menempah maut, ibarat tak ada beban batu digalas.
- mereka sanggup menerima apa-apa sahaja risiko - terbabit dalam nahas kemalangan sehingga ada yang terkorban atau cedera parah dan kemudian menjadi cacat atau lumpuh seumur hidup.
- boleh menghancurkan masa depan mereka dan menyusahkan ibu bapa atau penjaga mereka
- turut memperjudikan nyawa orang awam yang tidak berdosa

LANGKAH

1. Kementerian Belia dan Sukan

- melancarkan Program Sukan Malam - golongan remaja dapat memanfaatkan masa malam mereka dengan kegiatan sukan lasak yang digemari seperti go-kart dan perlumbaan motor di litar yang sah
- lebih selamat
- mengadakan kempen katakan 'Tak Nak Kepada Lumba Haram‘ perlu disokong oleh semua pihak termasuklah para remaja yang sudah insaf tampil ke depan bersama-sama berjuang untuk menyedarkan rakan-rakan mereka yang telah jauh terpesong

2. Peranan ibu bapa
- perlu memantau pergerakan anak-anak mereka, di samping mengesan sebarang perubahan tingkah laku yang wujud sekiranya mereka terbabit dalam sebarang gejala negatif
- anak-anak ibarat rebung yang masih boleh dilenturkan. Jikalau sudah menjadi buluh tentulah sukar untuk dilenturkan, malah mungkin akan patah.
- didikan agama dan moral perlu disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi supaya dapat menjadi benteng kukuh untuk menghadapi sebarang cabaran dan godaan dalam hidup.

Sunday, 8 April 2012

MASALAH SOSIAL DI KALANGAN REMAJA : PUNCA DAN PENYELESAIAN


Pengenalan
Kebelakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat  untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan serta agama.

Pengertian masalah sosial remaja
Secara umumnya masalah sosial  merangkumi berbagai perlakuan  negatif anggota  masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan  dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.
Secara perundangan tidak terdapat definisi yang khusus  bagi mengkategorikan remaja. Akta Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan  seorang kanak-kanak adalah mereka yang  berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan  1952,  kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur  di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih dalam alam persekolahan.


Statistik Gejala Sosial Remaja
Di Malaysia,  remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak.
Data dan statistik  banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalanagan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut  Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan  bagi kesalahan jenayah harta benda  serta kekerasan. Daripada  jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17%  adalah remaja dan dalam kalangan  remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan  boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.
Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, Januari 1992).
Jenayah yang dilakukan  oleh remaja  bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah  berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja  Cina dan 47 adalah remaja kaum India.
Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992. Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes). Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah  yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja.
Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius  dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat di kalangan  remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja  yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989,  3763 kes pada tahun 1990  dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991.
Satu lagi tabiat  remaja  yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran  mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian   di dua buah rumah pangsa  di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India  berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993).

Punca Keruntuhan Akhlak
Daripada data dan statistik yang dibentangkan, terbukti keruntuhan ahklak di kalangan remaja masih pada tahap yang tinggi. Keruntuhan ahklak ini dapat dilihat  dari pelbagai sudut. Antara punca yang dikenal pasti adalah seperti berikut;
1. Salah satu faktor yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga  keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang  mempunyai latar belakang yang baik.
Justeru, bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak  yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan  hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa  dan anak kurang  mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah  ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.
Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya  juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan  wang saku  yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi  oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan  bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya  yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa  yang tidak mengambil berat  tentang kelakukan dan pergaulan anak  remaja  mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan  salah satu faktor keruntuhan akhlak.
Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.
Justeru, sebagai ibu bapa  dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya  menjalankan kewajipan dengan merancang  aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat,  pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.
2. Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku  para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan  melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut  dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.
3. Pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah.

Cara Mengatasi Masalah
Perbincangan  mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja  ini. Berikut beberapa saranan:
1. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa   hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
2. Pendekatan akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik  seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.
3. Mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan  pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa  dalam pengawasan disiplin.
4. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.
5. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.
6. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif. PIBG jangan lah jadi umpama “KUCING TAK BERGIGI, TIKUS LOMPAT TINGGI-TINGGI”

Kesimpulan
Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.

PEMBUANGAN BAYI: MENCARI PUNCA DAN JALAN PENYELESAIAN

Membuang bayi adalah cara yang paling mudah dilakukan oleh pasangan yang melakukan penzinaan dan hamil. Bagi kebanyakan kes, perempuan yang dipersalahkan dan terpaksa menanggung beban di atas perbuatan tersebut.


Isu pembuangan bayi merupakan isu sejagat. Tidak sekadar berlaku di Malaysia malah di merata tempat. Di Brunei, seorang wanita dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana menyebabkan kematian seorang bayi dengan meletakkannya di dalam karung sampah yang mengakibatkan bayi berkenaan mati kelemasan. Di Indonesia, seorang penduduk Bekasi melihat benda berwarna kuning disyaki bayi terapung-apung di tepi sungai. Di China pula seorang bapa membuang anaknya yang berusia setahun ke dalam sungai kerana menyangka anaknya itu mati setelah tidak sedarkan diri kerana sakit perut. Manakala di Amerika Syarikat, seorang remaja perempuan berumur 19 tahun, Krystal Johnson dituduh membunuh setelah membuang bayinya ke kawasan yang kotor.


Di Malaysia, gejala ini terus berlaku dan menunjukkan aliran yang menaik. Umpamanya pada tahun 1999, sebanyak 70 kes telah dilaporkan dan pada tahun 2001, ia meningkat kepada 97 kes. Peningkatan bilangan kes ini memerlukan langkah-langkah penyelesaian dari akar umbi punca tersebut.


Bagaimanakah bayi dibuang, tempat pembuangan dan siapa yang membuangnya?


Tempat yang sering dicari ialah di dalam tandas, rumah kosong, tempat pelupusan sampah, saluran tangki najis, sungai, tepi pantai, longkang atau di rumah ibadat. Selain itu, tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.


Kepelbagaian tempat pembuangan memberi gambaran kepada kita sejauh mana tahap simpati pelakunya. Ada sesetengah kes yang pelaku menunjukkan kekejaman dan kezaliman, bayi akan dipam masuk ke dalam saluran tangki najis bagi menghilangkan bukti kelahiran. Pelaku yang masih ada simpati dan rasa bersalah akan menghormati bayi mereka dengan menyelimut, diberi susu dan diletakkan di tangga surau atau di hadapan rumah orang yang berpengaruh.


Pelaku membuang bayinya di tempat-tempat tertentu kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan kelahiran malah ia lebih malang jika perempuan berkenaan berumur 14 atau 15 tahun kerana keadaan mental dan fizikal mereka belum bersedia untuk menerima kelahiran tersebut.


Pembuangan bayi melibatkan banyak faktor. Kita tidak boleh membuat tuduhan atau menuding jari kepada satu-satu pihak kerana menyebabkan kehamilan luar nikah yang bertambah, sebaliknya melihat punca tersebut daripada pelbagai aspek. Kajian yang dilakukan oleh Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Khaidzir Ismail melalui “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi terhadap kalangan remaja perempuan berisiko tinggi atau bermasalah” memberi pendedahan betapa punca sebenar terletak pada keluarga yang bermasalah. Pengaruh rumah tangga memberi kesan ke atas pembentukan personaliti anak-anak khususnya apabila mereka meningkat remaja. Konflik dalam keluarga menendang keluar remaja untuk mencari tempat dan rakan yang boleh membantu mengatasi keadaan hidup dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kewangan, hiburan dan perkembangan emosi mereka. Tanpa pengawasan, anak-anak menjadi liberal, bersikap kurang ajar dan merencana kehidupan mengikut kehendak hati.


Masalah akan membiakkan masalah jika tidak disekat. Pembuangan bayi adalah satu masalah yang wujud sebagai impak kepada masalah lain yang wujud lebih awal. Pergaulan bebas, pengaruh dadah, capaian yang mudah terhadap bahan-bahan lucah dan pengaruh kawan adalah antara punca yang sering kali diperkatakan. Namun, jarang kita membuat analisis terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat akibat daripada proses sosialisasi.


Masyarakat membentuk sistem nilai berasaskan proses sosiolisasi yang menunjuk ajar bagaimana untuk bertingkah laku. Sosiolisasi merujuk kepada pengaruh keluarga, sekolah, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan dan politik, pengalaman kerja, media massa dan kumpulan rakan sebaya. Nilai-nilai dipelajari dan dinyatakan melalui perlakuan dan komunikasi. Nilai memberi hala tuju tindakan terakhir yang boleh dijangkakan dan membantu mengenal pasti baik atau buruk, betul atau salah.


Nilai yang dikongsi bersama oleh masyarakat akan mengelakkan sesuatu konflik berlaku kerana fungsi nilai ialah mengehadkan ruang dan peluang untuk konflik daripada merebak dan mengganggu sistem nilai, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.


Kemodenan menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam proses sosiolisasi. Nilai-nilai tradisi masyarakat tradisional seperti gotong-royong, ziarah-menziarahi dan bantu-membantu semakin luntur di dalam masyarakat moden. Gotong-royong umpamanya, tidak lagi kedapatan secara meluas di bandar-bandar sebaliknya digantikan dengan perkhidmatan berbayar. Peredaran masa menyebabkan nilai-nilai tersebut merosot dengan teruknya dan digantikan dengan nilai kontemporari yang disesuaikan dengan kehidupan moden. Sistem pendidikan adalah elemen yang sangat mustahak untuk mengukuhkan nilai-nilai yang dikehendaki bagi menggantikan nilai-nilai yang tidak menyumbang kepada kemajuan.


Justeru, dalam kes pembuangan bayi, negara-negara Barat mengambil pendekatan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah. Jerman adalah di antara negara yang berusaha mengatasi masalah ini dengan pelbagai cara. Selain pendidikan seks, Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran uatama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di “Baby’s Craddle” akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya.


Di Amerika Syarikat, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat.


Rasional kebenaran seperti ini untuk mengelakkan bayi dibuang di merata tempat yang boleh membahayakan diri dan mengelakkan mati sebelum dijumpai. Dalam kebanyakan kes, mayat bayi dijumpai di tempat yang yang sangat menyedihkan. Melalui undang-undang “Safe Haven” yang diperkenalkan, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang “Safe Haven” ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja yang terlibat. Salah satu daripadanya ialah www.robynsnest.com/.


Melihat penyelesaian yang dilaksanakan oleh masyarakat Barat, hasil akhir yang dijangka ialah bayi yang ditinggalkan akan diserahkan kepada keluarga angkat. Masyarakat Malaysia menentang langkah yang diguna pakai oleh Barat kerana dikhuatiri menggalakkan pembuangan bayi secara berleluasa. Namun apakah kita mahu melihat adanya kes buang bayi di dalam longkang, pagar masjid atau di hadapan rumah kita?


Penyelesaian yang terbaik ialah menutup punca kepada masalah ini. Pendidikan yang menekankan kesucian hubungan lelaki dan perempuan perlu didedahkan sejak kecil di samping pencegahan daripada institusi agama dan budaya masyarakat. Penguatkuasaan sepatutnya diguna pakai untuk menjadi pengajaran kepada ahli masyarakat tetapi peningkatan kes buang bayi dari setahun ke setahun menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan hukuman sedia ada ini.